KKR realisasi infra rakyat berimpak tinggi, moden

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn
Lebuhraya SUKE mendapat pengiktirafan Malaysia Book of Records melalui dua ciri uniknya. – NSTP/Ihsan SUKE

KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya (KKR) menjayakan pelbagai projek dalam usaha meningkatkan sistem jaringan jalan raya serta lebuh raya di bawah pentadbiran Datuk Seri Fadillah Yusof sejak 2013 hingga Oktober 2022, dalam usaha memberi kemudahan dan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di seluruh negara.

Selain memperluas jaringan dan rangkaian jalan raya Persekutuan serta lebuh raya secara bersepadu, empat fokus utama KKR turut merangkumi inisiatif untuk mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan infrastruktur; mempertingkatkan pembangunan kontraktor dan usahawan binaan serta mempertingkatkan kompetensi tenaga kerja dan profesional dalam sektor pembinaan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata banyak jaringan jalan dan lebuh raya dibangunkan dalam tempoh hampir sembilan tahun, dengan matlamat menyelesaikan masalah kesesakan, mengurangkan kadar kemalangan dan memberi laluan yang selamat serta selesa kepada rakyat.

Lebuhraya Pan Borneo Sarawak memberi pelbagai kemudahan kepada penduduk dan potensi ekonomi negeri. – Foto BERNAMA

Antara projek yang dijalankan adalah pembinaan Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak, dengan masing-masing membabitkan kos sebanyak RM7.485 bilion dan RM16.117 bilion; pembinaan Lebuhraya Bertingkat Damansara Shah Alam (DASH), yang sudah dibuka pada 14 Oktober lalu dan penyelenggaraan 14,801 kilometer (km) jalan persekutuan di Semenanjung, dengan peruntukan sebanyak RM893.5 juta.

“Semua projek yang kita laksanakan ini memberi manfaat kepada rakyat. Projek Pan Borneo umpamanya, ia memberi manfaat kepada pengguna jalan raya di Sabah dan Sarawak. Selain itu, memberi peluang pekerjaan, merancakkan sektor perindustrian dan pelaburan dan menjadi pemangkin kepada penggunaan teknologi pembinaan terkini.

“Projek DASH pula, ia memberi alternatif kepada pengguna bertujuan mengurangkan kesesakan, terutama pada waktu puncak. Yang pasti, semua inisiatif ini meningkatkan keselamatan dan keselesaan kepada pengguna,” katanya.

Lebuhraya WCE Banting-Taiping memberi limpahan ekonomi dan pembangunan kepada penduduk sekitar. – NSTP/Abdullah Yusof

KKR turut melancarkan fasa pertama pembukaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi Ulu-Kelang (SUKE), yang mencatatkan pencapaian membanggakan apabila dua ciri uniknya berjaya mendapat tempat dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

Selain membina infrastruktur baharu, KKR juga, kata Fadillah, membuat tampalan potholes di jalan persekutuan di seluruh negara dan menjalankan kerja baik pulih infrastruktur, di rangkaian jalan raya, merangkumi jalan berturap dan jambatan, yang rosak akibat bencana banjir pasca banjir.

Fokus tingkat keselamatan

Dalam fokus kedua, iaitu mempertingkatkan keselamatan dan keselesaan infrastruktur, KKR antara lain mewujudkan Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2040 (HNDP 2040).

Fadillah berkata, kajian HNDP 2040 adalah dokumen komprehensif yang mengenal pasti keperluan infrastruktur jalan dari 2026 hingga 2040 untuk Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Objektif utama pelan ini adalah untuk mewujudkan jaringan perhubungan jalan raya yang baik untuk kemudahan rakyat, di samping menyokong pembangunan sosioekonomi di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Pelan ini akan mengenal pasti dan menyenaraikan lokasi jalan baharu untuk dibina, jalan untuk dinaik taraf, kos pembinaan serta tempoh pelaksanaan bagi setiap jalan terbabit,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, KKR melaksanakan Program Menaik Taraf infrastruktur Keselamatan Jalan Raya, yang memfokuskan kepada empat skop utama, iaitu rawatan di lokasi kerap kemalangan di jalan persekutuan di seluruh negara, pembinaan jejantas, lintasan pejalan kaki searas berlampu isyarat (LPKSI) dan pemasangan lampu jalan di kawasan kemalangan / berisiko kemalangan akibat jalan gelap.

“Kita memperuntukkan RM50 juta sepanjang 2022 bagi menjayakan program ini.

“Selain itu, KKR turut menambah baik lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan hitam (black spot) di lebuh raya, yang mana tindakan mitigasi akan dikenal pasti dan penambahbaikan dilaksanakan bagi memastikan tahap keselamatan di lebuh raya dapat ditingkatkan dan mengurangkan risiko kemalangan,” katanya.

Bagi fokus ketiga, iaitu mempertingkatkan pembangunan kontraktor dan usahawan binaan, kerajaan memberi peruntukan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi, bertujuan memberi peluang kerja kepada kontraktor kecil serta membantu merancakkan pertumbuhan ekonomi.

Lebuhraya DASH antara 53 projek berimpak tinggi dalam Program Transformasi Ekonomi dilaksanakan kerajaan. – NSTP/Hairul Anuar Rahim

Fadillah berkata, KKR turut mendapat manfaat melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA), yang memberi projek penyelenggaraan seperti pembaikan infrastruktur dan fasiliti awam kepada kontraktor G1 hingga G4.

“Dengan peruntukan hampir RM1.1 bilion, KKR dengan kerjasama syarikat konsesi mewujudkan 2,081 kerja, yang dikhususkan bagi tujuan pembangunan kontraktor kecil kelas G1 hingga G4.

“Ia membabitkan penyelenggaraan jalan persekutuan, penyelenggaraan lampu jalan, pembaikan jambatan, kerja berkala jalan berturap dan bangunan guna sama persekutuan serta cerun di jaringan lebuh raya tingkat ekonomi, pembangunan jalan persekutuan,” katanya.

Tambahnya, KKR melalui CIDB melancarkan Pakej Prihatin Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) bagi membantu dan memudah cara kontraktor yang terkesan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), menerusi dua pakej prihatin.

Katanya, pakej itu meringankan beban kewangan kontraktor, memudah cara untuk kontraktor berdaftar dengan CIDB dan memberi peluang kakitangan binaan menjalani kursus dengan CIDB.

Di samping itu, Fadillah berkata, KKR turut memperkenalkan subsidi ujian COVID-19 bagi kakitangan binaan asing berdaftar bagi meringankan beban kewangan dan menggalakkan majikan menghantar pekerja warga asing untuk mendapatkan ujian saringan.

Selain itu, menerusi fokus keempat, mempertingkatkan kompetensi tenaga kerja dan profesional dalam sektor pembinaan, CIDB turut memperkenalkan Program MRT Youth Entrepenuer 3.

Program dengan kerjasama CIBD dan MRT Corp itu menyediakan latihan komprehensif dan berstruktur kepada kontraktor untuk menimba pengalaman dengan menyediakan pakej kerja subkontrak dengan pemantauan berkesan.

“KKR turut mewujudkan Akademi Binaan Malaysia (ABM), iaitu pusat penilaian dan latihan CIDB, yang memenuhi keperluan pembangunan dan peningkatan kemahiran untuk pekerjaan binaan.

“Program ini antara lain bermatlamat melahirkan lebih ramai kakitangan binaan berkemahiran dan separuh mahir tempatan serta menyediakan peluang kepada pekerja binaan mempertingkatkan tahap kemahiran.

“Ia juga bertujuan menyokong industri pembinaan, memupuk daya saing, selari dengan teknologi yang semakin maju,” katanya.

More news & updates