
SABAH 22 OKTOBER 2022 – Lebih 170 jawatan sedia ditawarkan kepada graduan ABM dan CIDB Tech Sabah oleh tujuh majikan di dalam bidang yang dikategorikan berimpak tinggi iaitu Pemasangan Perancah, Perpaipan Gas, Operasi Kren, Elektrikal, Penyaman Udara dan Kimpalan.
Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Datuk Ir Ahmad Asri Abdul Hamid berkata, syarikat-syarikat berkenaan adalah Full Star Constructions Sdn Bhd, Pembinaan Kekal Mewah Sdn Bhd, Cahaya Dedikasi Sdn Bhd, J.S Usaha Sdn Bhd, SM Electrical Work, RM Leopad Sdn Bhd dan Kejuruteraan Stimdang Sdn Bhd yang merupakan syarikat-syarikat tempatan.
“Ini menunjukkan kebolehpasaran graduan ABM bukan sahaja memenuhi keperluan tenaga mahir sektor binaan tetapi turut memberi peluang pendapatan dan peningkatan kerjaya buat graduan yang kebanyakkannya di kalangan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya pada Majlis Graduasi ABM dan CIDB Tech. Bagi Wilayah Sabah 2022 di Kinabatangan Hall, Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu,Sabah.

Dalam majlis itu, tujuh (7) syarikat berkenaan menerima Sijil Penghargaan bagi kerjasama mereka memberi peluang pekerjaan buat para graduan. Selain itu, tiga agensi kerajaan negeri Sabah juga telah menerima sijil penghargaan atas sumbangan menaja belia-belia Sabah yang belajar kemahiran di ABM iaitu, Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM) Negeri Sabah, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Negeri Sabah dan Sabah Economic Development and Investment Authority (SEDIA).

Seramai 120 orang graduan ABM dan CIDB Technologies adalah antara yang menamatkan pengajian mereka dengan memperoleh Sijil Kompetensi Kemahiran Pembinaan (SKKP) CIDB sekaligus mengiktiraf mereka sebagai tenaga pekerja mahir. Sepuluh daripada graduan tersebut diiktiraf sebagai graduan cemerlang berdasarkan pencapaian mereka semasa tempoh latihan.
Semua graduan-graduan ini berjaya memperoleh sijil tersebut melalui latihan dan penilaian yang diambil berdasarkan 12 tred dalam Program Latihan Kompetensi Kemahiran Pembinaan yang meliputi Bidang Bangunan, Jentera Berat, Pendawaian Elektrik dan Kimpalan.
Tujuh daripada graduan turut menerima Perakuan Kekompetenan Pendawai (PW2) daripada Suruhanjaya Tenaga dengan menerima Sijil Kompetensi Pendawaian Fasa Tunggal (PW2).
Pada majlis hari ini, CIDB turut mengumumkan ikon TVET Pembinaan Sabah iaitu Cik Nur Ramlah Masdo, 26 tahun, penerima Wanita pertama bagi anugerah tersebut. Beliau kini bekerja sebagai Pengendali Perancah Tahap 2 dalam industri minyak dan gas.
Majlis Graduasi ABM Wilayah Sabah dan CIDB Tech ini dirasmikan oleh YB Datuk Arthur Joseph Kurup, Timbalan Menteri Kerja Raya yang turut menyampaikan anugerah pelatih cemerlang dan Ikon TVET. Turut hadir pada majlis tersebut, Datuk Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid, Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, En. Rosmen Ag Hassan, Pengarah CIDB Sabah, En. Tadzul Radim, Ketua Pegawai Eksekutif ABM Sabah dan En. Mohamad Darus Taib, Ketua Pegawai Eksekutif CIDB Tech.
ABM dan CIDB Tech merupakan pusat penilaian dan latihan CIDB yang memenuhi keperluan untuk pembangunan dan peningkatan kemahiran untuk pekerja binaan.
Untuk rekod, CIDB mengeluarkan 403,506 bilangan pekerja mahir bermula tahun 2001 hingga 15 September 2022 menerusi dua Program Belia dan Program Personel Binaan daripada enam ABM dan CIDB Tech di seluruh Malaysia. Dari jumlah tersebut 76,243 adalah merupakan graduan ABM Sabah, sementara 6,269 pula daripada CIDB Tech Sabah.