PERSONEL BINAAN TIDAK BERTAULIAH: PEKERJA DAN MAJIKAN BERDEPAN DENDA RM5,000

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Share on linkedin
LinkedIn

Kenyataan Akhbar:

Kuala Lumpur, 12 Januari 2018: Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) mengingatkan semua personel binaan mahir (penyelia tapak dan pekerja binaan mahir) untuk mendapatkan pemerakuan dan akreditasi kemahiran mereka atau akan berdepan dengan tindakan undang-undang.

Mengikut Akta 520 Seksyen 33A(1) dan (5), personel binaan mahir yang didapati menjalankan kerja-kerja pembinaan tanpa mendapat akreditasi dan pemerakuan daripada CIDB, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM5,000. Mengikut Seksyen 33A(6), denda yang sama juga akan dikenakan kepada sesiapa atau majikan yang mengambil personel binaan mahir yang tidak mendapat akreditasi dan pemerakuan daripada CIDB untuk melakukan kerja-kerja pembinaan.

Ketua Eksekutif CIDB, Dato’ Ir. Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, CIDB
memandang serius akan perkara ini kerana hasil kerja yang dilaksanakan oleh personel binaan sudah tentu akan memberi kesan kepada kualiti projek dan keselamatan sesuatu pembinaan.

“Oleh itu, saya menggesa semua syarikat pembinaan agar menghantar penyelia tapak bina serta pekerja binaan mahir untuk diakredit dan diperakukan kemahiran mereka,” katanya.

Sehingga Jun 2017 seramai 847,129 personel binaan telah didaftar oleh CIDB. Daripada jumlah tersebut hanya 200,954 yang tampil untuk mendapatkan perakuan kemahiran daripada CIDB.

Bidang kemahiran yang diwajibkan untuk mendapatkan perakuan CIDB adalah seperti tersenarai di dalam Jadual Ketiga Akta 520.

Maklumat mengenai akreditasi dan pemerakuan kemahiran boleh didapati di laman web www.cidb.gov.my, manakala malumat mengenai perlaksanaaan penilaian atau ujian kemahiran boleh didapati di laman web Akademi Binaan Malaysia (ABM) di www.akademibinaan.com.my.

Mengenai CIDB
Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) ditubuhkan menerusi Akta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan 1994 (Akta 520) bagi membina kapasiti dan kapabiliti industri pembinaan melalui peningkatan kualiti dan produktiviti dengan memberi penekanan kepada professionalisme, inovasi dan pengetahuan ke arah kehidupan yang berkualiti.

More news & updates